Binatang yang sah disembelih untuk aqiqah itu sama seperti binatang-binatang yang sah dibuat korban. Untuk lebih jelas lagi disebutkan syarat-syarat binatang yang sah untuk dibuat aqiqah itu ialah:
Binatang aqiqah itu hendaklah binatang ternakan (na‘am) seperti unta atau yang sejenisnya, lembu atau yang sejenisnya seperti kerbau dan kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri dan kibasy. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syari‘atkan ibadat menyembelih korban supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu".
(Surah al-Hajj: 34)
Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada daripada keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud aqiqah, misalnya ada di antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja ataupun daging korban. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis:
Maksudnya: "Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (dari Madinah) mengucapkan tahlil (Lailahaillallah), dengan berniat untuk mengerjakan haji, maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang daripada kami bagi seekor badanah".
(Hadis riwayat Muslim)
Seekor kambing pula hanya untuk seorang sahaja tidak boleh dikongsikan. Jika dikongsikan seekor kambing itu untuk dua orang atau lebih, maka tidak sah aqiqah tersebut.
Afdhalnya binatang yang dibuat aqiqah itu yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam, kemudian berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.
Binatang aqiqah itu hendaklah cukup umur, sebagaimana disyaratkan di dalam korban. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Jangan kamu menyembelih korban melainkan yang telah musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah anak daripada biri-biri."
(Hadis riwayat Muslim)
Adapun musinnah itu ialah ats-tsaniy (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan unta, lembu dan kambing. Maka ukuran umur bagi binatang aqiqah itu ialah:
a.Unta yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya lima tahun dan masuk tahun keenam.
b.Lembu dan kambing yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya dua tahun dan masuk tahun ketiga.
c. Manakala kambing biri-biri dan kibasy memadai yang berumur cukup satu tahun atau yang gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umurnya satu tahun dengan syarat telah melimpasi umurnya enam bulan. (Al-Majmu‘ 8/286-287 dan I‘anah ath-Thalibin 2/518)
3. Binatang aqiqah itu hendaklah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau anggota lain yang boleh dimakan. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Empat perkara yang tidak boleh ada pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: "Buta yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang kurus dan lemah."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa binatang yang tidak sah dijadikan aqiqah itu ialah:
i. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dibuat aqiqah.
ii. Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak boleh ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat aqiqah.
iii.Binatang yang nyata sakitnya sehingga menjadikan binatang tersebut kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya maka ia sah dibuat aqiqah.
iv.Binatang yang kurus sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.
v. Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga sejak dilahirkan kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya, walaupun sedikit.
vi.Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit atau terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya. Adapun yang dilahirkan tanpa berekor sejak dilahirkannya adalah sah dibuat aqiqah.
vii. Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat aqiqah.
viii.Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.
ix.Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (Al-Majmu‘ 8/293-2966 dan Mughni al-Muhtaj 4/520) Bagi binatang yang baharu beranak boleh dibuat korban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dalam Tuhfah dan Ar-Ramli dalam Nihayah, manakala mengikut pendapat Khatib Syarbini dalam Mughni bahawa binatang tersebut tidak memadai dibuatkan korban. (Sabilul Muhtadin 2/213)
http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2002/ic14_2002.htm
No comments:
Post a Comment